Memaparkan catatan dengan label isu pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu pendidikan. Papar semua catatan

03 Oktober 2007

PMR di Sekolah 1 Sesi & pelajarnya Ponteng

Time : Breaking of Fast
Place : Home
Date : Oct 2 2007

Sister-in-law (SIL) : sis, bila PMR start?
Me : semalam, sampai jumaat ni.
SIL : kenapa tak jaga PMR?
Me : malas la, bulan2 puasa ni... lepas tu bukannya dapat cepat bayaran jaga exam tu...
SIL : jaga exam pun kena bayar ek?
Me : yup. kira ala-ala bertugas luar stesen la. sama macam gi kursus, mesyuarat, bole claim.
SIL : o, ok... tapi kenapa cikgu-cikgu bising bila dicadangkan kerja sampai pukul 4?
Me : cadangan ad hoc, siapa nak terima? kalau dalam keadaan yang terkawal, semua pelajar tinggal di asrama, mungkin tiada masalah. sedangkan waktu persekolahan biasa pun, pelajar boleh ponteng, inikan pula pelajar 'dikurung' sampai pukul 4 petang. yang jadinya nanti, cikgu sibuk mengejar budak dari menjalankan aktiviti yang sepatutnya.
SIL : tak boleh pakai langsung ke cadangan tu?
Me : boleh, tapi kemudahan perlu ada. kantin, surau yang boleh menampung pelajar. kita perlu ingat, 'rambut sama hitam, hati lain-lain'. tak semua pelajar sama. ada yang baik, ada yang degil. kita tak boleh expect semua pelajar akan ikut apa yang dirancangkan.
SIL : cikgu kena la jaga...
Me : betul, cikgu kena jaga. mana ada cikgu nak perkara yang buruk-buruk untuk anak muridnya. kak, kita yang bekas pelajar sekolah terkawal pun, akak ex-MRSM, saya SBP, mesti ada sorang dua kawan-kawan kita yang jenis tak makan saman, betul tak? inikan pulak sekolah biasa. kalau lebih-lebih marahkan pelajar, mak bapak yang datang menyerang nanti.

actually, hari ni pun ada kes pelajar ponteng sekolah dari pagi, meaning memang diorang tak masuk sekolah. 2 orang, perempuan. macam mana nak buat ni?

p/s : budak yang ponteng tu bukan calon PMR, harap maklum.

18 September 2007

Bajet 2008 : Kesan Kepada Bidang Pendidikan

Aku rasa agak terlambat sebenarnya untuk aku memberikan ulasan aku berkenaan Bajet 2008 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri kita, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 7 September yang lalu. (Untuk intipati Bajet 2008, sila rujuk entri ini.).

Jika dirujuk kepada intipati tersebut, pendidikan telah diperuntukkan bahagian yang agak banyak.
  1. Peruntukan RM30 bilion untuk pendidikan.

  2. Yuran sekolah dimansuhkan.

  3. Skim pinjaman buku teks diperluaskan kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak.

  4. Elaun guru pendidikan khas ditingkatkan dari RM100 kepada RM250 sebulan.

  5. Elaun guru ganti berkelulusan ijazah daripada RM85 kepada RM150 sehari.

  6. Menyediakan elaun RM60 sejam bagi lepasan ijazah dan RM50 sejam bagi lepasan diploma kepada guru yang mengajar bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan.

  7. Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) memperuntukkan RM45 juta untuk pelaksanaan projek SchoolNet bagi menyediakan kemudahan Internet di sekolah-sekolah.

  8. Peruntukan terbesar ialah untuk perbelanjaan pembangunan yang melibatkan RM20.6 bilion untuk sektor pertanian, industri dan infrastruktur; RM15.6 bilion untuk pendidikan, kesihatan dan perumahan; RM7.0 bilion untuk sektor keselamatan; RM2.9 bilion untuk pentadbiran; dan RM2.0 bilion untuk simpanan luar jangka.


Paling menarik perhatian aku, pemansuhan yuran sekolah. Ini menjadikan sistem pendidikan di Malaysia 100% percuma. Pemansuhan yuran ini diharap dapat menghapuskan kadar keciciran di sekolah. Kerap kali kita mendengar pelajar yang tidak hadir ke sekolah memberikan alasan kewangan sebagai punca utama ketidak hadiran mereka. Namun begitu, kesan pemansuhan ini hanya akan dapat dilihat mulai tahun hadapan.

Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) juga diperluaskan kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga mereka. Dari satu sudut, ini akan meringankan beban tugas guru SPBT di sekolah yang tidak perlu lagi memikirkan samada seseorang pelajar itu layak ataupun tidak mendapat pinjaman buku teks. Tidak ada lagi penjaga yang akan memalsukan slip gaji semata-mata mahukan anak-anak mereka mendapat buku teks secara percuma (dari cerita-cerita yang aku dengar). Namun dari satu segi yang lain, adakah bekalan buku teks mencukupi untuk diberikan kepada semua pelajar? Dapatkah pihak kementerian memastikan buku-buku teks dapat dibekalkan ke semua sekolah sebelum bermulanya penggal persekolahan yang baru tahun hadapan? Mungkinkah akan ada penjaga yang akan ke sekolah untuk memastikan anak-anak mereka mendapat buku teks yang cukup dan terkini?

RM45 juta diperuntukkan untuk melaksanakan Projek SchoolNet, yang bertujuan untuk menyediakan kemudahan internet di sekolah-sekolah. Perancangan yang baik, namun jika apa yang aku perhatikan di sekolah menjadi kayu ukuran, banyak lagi yang perlu diberi perhatian, terutamanya dari segi penyenggaraan. Sebuah makmal komputer yang mempunyai 30, 40 buah komputertidak bermakna jika kurang dari separuh sahaja yang berfungsi. Pokok pangkalnya, penyenggaraan.

05 September 2007

Pelajar Gagal : Salah Siapa?

Petang tadi, lepas sekolah, ada Mesyuarat Penilaian Impak Percubaan PMR 2007. Pendek kata, sebenarnya mesyuarat analisis, namanya yang di'bombastik'kan. Dari 1 segi, aku memang setuju dengan segala retorik yang diwar-warkan, analisis peperiksaan, manual kajian tindakan (ini cerita lain), post- & pre-test, analisis soalan, bermacam-macam lagi. Tapi malam ni, aku nak membebel pasal mesyuarat petang tadi. (yang lain-lain, aku simpan dulu).

Apa pengisian mesyuarat ni? Sebenarnya apa yang dibentangkan dalam mesyuarat adalah ringkasan dari keputusan percubaan PMR baru-baru ni. Setiap panitia (jangan tanya aku apa maksud 'panitia', aku pun tak tau!) diminta membentangkan ringkasan keputusan mengikut mata pelajaran dan juga strategi untuk meningkatkan keputusan. Dari 1 segi, aku setuju dengan hala tuju dan matlamat mesyuarat, untuk membincangkan cara-cara untuk meningkatkan dan memperbaiki keputusan PMR yang sebenar nanti.

Tapi dari 1 segi pula, setelah mendengar ringkasan dan ulasan yang diberikan oleh guru-guru dan pengetua, aku dapat merasakan bahawa sistem pendidikan kini memaksa seseorang untuk datang ke sekolah, menduduki peperiksaan dan meneruskan persekolahan (mereka yang gagal PMR juga dibenarkan untuk meneruskan persekolahan ke Tingkatan 4). Apa yang akan terjadi nanti? Sekolah akan penuh dengan pelajar yang sebenarnya tidak mahu belajar. Aku pasti kita pasti pernah mendengar ayat "Tuhan takkan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum tersebut mengubah nasibnya sendiri." Kenapa kita perlu memaksa pelajar yang tidak berminat untuk belajar? Ada pelajar yang tidak peduli samada lulus atau tidak, tiada keinginan untuk lulus, tiada motivasi untuk belajar. Jadi soalannya sekarang, kalau pelajar gagal, salah siapa?

Di kalangan guru, pelajar akan disalahkan. Jika soalan yang sama ditanya kepada pelajar, jawapannya pelbagai. "Cikgu ajar tak bagus", "Penerangan cikgu tak jelas" dan seribu satu lagi jawapan. Jarang, ataupun tak pernah ada pelajar yang mengaku kegagalannya berpunca dari diri sendiri. "Apa yang cikgu ajar anak saya?", soalan kegemaran ibu bapa kepada guru-guru jika anak mereka gagal. Kalau ditanya tokoh pendidikan, jawapanya, "Tidak ada pelajar yang bodoh, semua pelajar adalah pada tahap yang sama. Jika ada pelajar yang gagal, guru perlu bermuhasabah, menyedari bahawa kegagalan berpunca dari kelemahan dalam pengajaran guru." Apa pendapat anda?

Tidak ada guru yang mahu melihat anak muridnya gagal. Jika semua pelajar adalah sama tahap kecerdasannya, dengan kaedah pengajaran yang sama boleh menghasilkan pelajar yang cemerlang, kenapa ada pelajar yang gagal? Adakah kegagalan pelajar itu berpunca dari guru? Ibu bapa yang prihatin, yang mengambil berat mengenai pelajaran anak-anak mereka pasti dapat mengenal pasti jika anak mereka tidak menunjukkan keputusan yang baik. Tetapi tidak ramai ibu bapa yang mengambil berat mengenai pelajaran anak mereka, tidak ramai ibu bapa yang mengambil inisiatif untuk mengenali guru-guru anak-anak mereka. Apa yang mereka tahu, apabila anak mereka di sekolah, semuanya di bawah tanggungjawab sekolah. Walhal untuk pelajar itu mencapai kejayaan, semua pihak (pelajar, ibu bapa & guru) perlu bekerjasama.

Lebih baik aku berhenti dulu, dah lewat. selamat malam!

04 September 2007

Merdekakah Kita?

MY-50-Merdeka-Logo-big

Agak lambat aku ucapkan "Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-50" kepada semua pembaca blog aku yang tak seberapa nih. Samada kita sedar atau tidak, dalam tempoh 50 tahun ini, Malaysia telah mencapai satu tahap kemajuan yang tidak pernah difikirkan oleh datuk nenek kita dahulu. Sebelum merdeka, ada yang mempersoalkan, "Boleh ke kita memerintah sendiri?". Hasilnya, kini Malaysia adalah salah satu negara yang lantang memperjuangkan nasib negara-negara ketiga dan Islam.

Seperti juga sewaktu Tun Dr. M mencetuskan idea untuk menghasilkan kereta kita sendiri. Ada yang bertanya, "Boleh ke kita buat kereta sendiri? Jarum pun kita tak mampu nak buat." Tetapi kini Proton sudahpun meluncur di jalan-jalan raya di Tanah British, bekas penjajah kita. Mungkin ada yang memperlekehkan Proton sebagai 'kereta tin Milo' (itu yang aku dengar masa aku kecik-kecik dulu), tapi kita kena ingat, sejarah Proton kurang dari 30 tahun. Aku tetap bangga dengan kejayaan Proton (walaupun bunyi-bunyi dalam WLB, CBD dan CBY masih aku tak dapat nak atasi...hehehe...).

Dalam suratkhabar hari ini, ada 1 lagi berita yang membanggakan aku. Kecemerlangan Nur Amalina diteruskan di peringkat A-Level. Dia telah berjaya mencapai keputusan 5A untuk A-Levelnya. Siapa kata orang Melayu tidak pandai? Amalina telah membuktikan sebaliknya. Tetapi apa yang menyedihkan aku, ada diantara anak-anak murid aku yang sampai kini masih tidak sedar akan kepentingan pelajaran. Mereka hanya menghadirkan diri ke sekolah semata-mata untuk datang ke sekolah, untuk mendapat duit belanja dari ibu bapa. Apa yang lebih menyedihkan, sindrom ini bukan hanya ada pada pelajar di tingkatan rendah (tingkatan 1 &2) tetapi juga ada pada pelajar menengah atas (tingkatan6). Apa lagi yang harus aku lakukan?

Aku rasa aku nak berhenti dulu. Dah pukul 8:35 malam, lapar la...

p/s: thanks to blogger KJ for the logo. ribuan terima kasih untuk En. Nor Azian A. Hasan atas logo sambutan kemerdekaan ke50 ciptaannya.