30 Jun 2008

Jika Anda Orang Seremban, Jangan Baca Pos Ini

Kenapa tajuk pos aku kali ini begitu? Aku nak meluahkan apa yang aku lalui setelah 6 bulan aku di tempat Negeri Sembilan. Di Seremban ada beberapa hypermarket yang biasa aku pergi untuk mendapatkan barangan harian, terutamanya Gi*nt Senawang dan juga Te*sco Seremban 2. Apa yang menyakitkan hati aku ialah tabiat sebahagian besar pengunjung-pengunjung ke hypermarket tersebut untuk meninggalkan troli yang sudah digunakan merata-rata tempat di kawasan parking. Aku rasa perkara ini semakin berleluasa disebabkan oleh penggunaan troli ini adalah percuma. Dahulu untuk menggunakan troli ini perlu menggunakan syiling RM1 untuk membuka kuncinya dan syiling itu akan dipulangkan setelah meletakkan troli tersebut di tempat yang sepatutnya.

Masalah ini tidak berlaku di Carrefour Batu Pahat kerana troli di sana menggunakan sistem kunci. Kalau aku tauke hypermarket di Senawang & Seremban 2 tu, dah lama aku letakkan signboard berikut :


"SAYA BODOH KERANA TIDAK MELETAKKAN TROLI DI TEMPAT YANG SEPATUTNYA"


Anda setuju?

p/s : kalau anda orang Seremban/pengunjung hypermarket yang dinyatakan di atas yang meletakkan troli di tempat yang sepatutnya selepas menggunakannya, anda tak sepatutnya marah dengan pos ini malahan bersetuju dengan pendapat aku. Kalau anda tak bersetuju, apa boleh aku buat?

19 Jun 2008

Baucer Rebat Tunai Kenderaan Bermotor Yang Sangat Tak Bermakna

Aku adalah antara beberapa pemilik kenderaan yang telahpun membuat tuntutan rebat tunai tersebut. Nasib baik semua kereta dan motor aku tak perlu diperbaharui cukai jalannya pada tempoh yang sama. Kalau tak, tak mampu aku nak membayarnya. Bayaran rebat tunai itu pula umpama ikan bilis di celah gigi paus biru. Sangatlah tidak berbaloi jika hendak dibandingkan dengan kenaikan-kenaikan
  1. petrol
  2. bahan makanan
Katanya subsidi petrol akan digunakan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam. Tapi kalau tak silap aku, masa petrol dinaikkan harga sebanyak 30 sen dulu pun, alasan yang sama digunakan. Ada perubahan ke? Ini naik RM1.00 untuk sebab yang sama? Susah aku nak percaya. Dikatakan jugak subsidi itu akan digunakan untuk mengekang kenaikan harga barang. Tapi yang aku lihat, yang aku baca dalam akhbar, harga ayam bersih pun sudah mencecah RM8.00 sekilo, melebihi harga syiling.

Akhirnya, rakyat digula-gulakan dengan rebat baucer tunai RM625 (untuk kereta 2000 cc dan pick up & 4WD 2500 cc ke bawah) dan RM150 (untuk motorsikal 250 cc kebawah). Cukup kah untuk menampung penggunaan petrol bulanan?

Sibuk... sibuk... sibuk...

Aktiviti sepanjang minggu ini :

  1. Kuiz Penggalakan Pelancongan Pelajar Sekolah Menengah Daerah Rembau 2008 (17 Jun)
  2. Hari Guru Peringkat Daerah 2008 (18 Jun)
  3. Festival Nasyid, Khat Jawi, Marhaban Berzanji & Kompang Selawat Negeri Sembilan (21 Jun)
Aku? Buat-buat sibuk... huhuhu...

10 Jun 2008

Minyak Oh Minyak...

Dah nak seminggu dah minyak naik. Dari RM1.92 ke RM2.70, kenaikan 40%. Walaupun kenaikan harga minyak sudah dijangka selepas PRU 12 yang lalu, namun tiada siapa yang menjangkakan kenaikan yang mendadak. Aku? Sebagai seorang pengguna dan rakyat Malaysia, aku terpaksa menerima sahaja kenaikan tersebut. Apa lagi yang mampu aku buat?

Pak Lah menjanjikan kenaikan petrol tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang. Subsidi akan diagihkan untuk subsidi bahan makanan. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Harga barang semakin mahal. Dahulu, beras 10kg boleh dibeli dengan harga RM18, tapi sekarang harganya lebih dari RM30. Kenaikan petrol telah menyebabkan kesan domino. Aku sendiri terasa peritnya, apatah lagi mereka yang tinggal di kampung-kampung.

Tapi apa yang boleh aku buat? Ubah gaya hidup? Gaya hidup sekarang pun sudah memeritkan, bagaimana lagi mahu aku ubah? Sebenarnya yang paling banyak membazirkan subsidi petrol adalah kerajaan sendiri. Tak percaya? Cuba fikirkan maklumat yang aku ingin kongsi bersama.
  1. Aku difahamkan bagi gred JUSA dan ke atas, penggunaan petrol adalah tanpa had, baik untuk kegunaan rasmi ataupun kegunaan peribadi. Kalau bagi gred JUSA pun sudah percuma, apatah lagi bagi pemimpin negara. Kita pula terpaksa membayar harga petrol, baik untuk kegunaan peribadi mahupun rasmi.
Ya, kenaikan harga petrol adalah fenomena global. Namun begitu kenapa kita perlu membayar harga petrol mengikut harga global tetapi terpaksa membayar harga kenderaan yang telah dicukai berkali-kali ganda? Kenapa kita tidak boleh membeli kenderaan mengikut harga global? Apa jawapan Pak Lah?

Bayaran subsidi cukai jalan sebanyak RM625 bagi kereta 2000 cc ke bawah adalah umpama ikan bilis di celah gigi paus. Sangat tidak membantu untuk mengurangkan beban kenaikan petrol. Nasib baik aku tinggal berhampiran tempat kerjaku, jadi penggunaan petrol masih boleh aku abaikan, meskipun harga petrol naik dan aku masih memandu setiap pagi. (Aku tak dapat nak berjalan kaki, barang-barang banyak yang perlu aku bawa.)

Apakah langkah-langkah yang telah anda ambil?