18 September 2007

Bajet 2008 : Kesan Kepada Bidang Pendidikan

Aku rasa agak terlambat sebenarnya untuk aku memberikan ulasan aku berkenaan Bajet 2008 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri kita, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 7 September yang lalu. (Untuk intipati Bajet 2008, sila rujuk entri ini.).

Jika dirujuk kepada intipati tersebut, pendidikan telah diperuntukkan bahagian yang agak banyak.
  1. Peruntukan RM30 bilion untuk pendidikan.

  2. Yuran sekolah dimansuhkan.

  3. Skim pinjaman buku teks diperluaskan kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak.

  4. Elaun guru pendidikan khas ditingkatkan dari RM100 kepada RM250 sebulan.

  5. Elaun guru ganti berkelulusan ijazah daripada RM85 kepada RM150 sehari.

  6. Menyediakan elaun RM60 sejam bagi lepasan ijazah dan RM50 sejam bagi lepasan diploma kepada guru yang mengajar bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan.

  7. Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) memperuntukkan RM45 juta untuk pelaksanaan projek SchoolNet bagi menyediakan kemudahan Internet di sekolah-sekolah.

  8. Peruntukan terbesar ialah untuk perbelanjaan pembangunan yang melibatkan RM20.6 bilion untuk sektor pertanian, industri dan infrastruktur; RM15.6 bilion untuk pendidikan, kesihatan dan perumahan; RM7.0 bilion untuk sektor keselamatan; RM2.9 bilion untuk pentadbiran; dan RM2.0 bilion untuk simpanan luar jangka.


Paling menarik perhatian aku, pemansuhan yuran sekolah. Ini menjadikan sistem pendidikan di Malaysia 100% percuma. Pemansuhan yuran ini diharap dapat menghapuskan kadar keciciran di sekolah. Kerap kali kita mendengar pelajar yang tidak hadir ke sekolah memberikan alasan kewangan sebagai punca utama ketidak hadiran mereka. Namun begitu, kesan pemansuhan ini hanya akan dapat dilihat mulai tahun hadapan.

Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) juga diperluaskan kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga mereka. Dari satu sudut, ini akan meringankan beban tugas guru SPBT di sekolah yang tidak perlu lagi memikirkan samada seseorang pelajar itu layak ataupun tidak mendapat pinjaman buku teks. Tidak ada lagi penjaga yang akan memalsukan slip gaji semata-mata mahukan anak-anak mereka mendapat buku teks secara percuma (dari cerita-cerita yang aku dengar). Namun dari satu segi yang lain, adakah bekalan buku teks mencukupi untuk diberikan kepada semua pelajar? Dapatkah pihak kementerian memastikan buku-buku teks dapat dibekalkan ke semua sekolah sebelum bermulanya penggal persekolahan yang baru tahun hadapan? Mungkinkah akan ada penjaga yang akan ke sekolah untuk memastikan anak-anak mereka mendapat buku teks yang cukup dan terkini?

RM45 juta diperuntukkan untuk melaksanakan Projek SchoolNet, yang bertujuan untuk menyediakan kemudahan internet di sekolah-sekolah. Perancangan yang baik, namun jika apa yang aku perhatikan di sekolah menjadi kayu ukuran, banyak lagi yang perlu diberi perhatian, terutamanya dari segi penyenggaraan. Sebuah makmal komputer yang mempunyai 30, 40 buah komputertidak bermakna jika kurang dari separuh sahaja yang berfungsi. Pokok pangkalnya, penyenggaraan.

Tiada ulasan: